KEM PENGANJURAN KOMUNITI 2017

VIP CAMP MALAYSIA


SELAMAT DATANG
Remaja merupakan aset yang penting bagi sesebuah negara. Mereka merupakan modal yang perlu dijana dan dibimbing bagi melahirkan insan yang berkaliber, berdedikasi dan berpendidikan dengan harapan mereka dapat memimpin generasi dan negara mereka pada masa hadapan.
Matlamat VIP CAMP MALAYSIA ini untuk melahirkan generasi remaja dari golongan remaja dalam memantapkan ibadah dan melahirkan rasa saling hormat menghormati sesama manusia. Program ini juga meletakkan objektif supaya golongan sasar ini mempunyai kesedaran dan memainkan peranan mereka dalam kehidupan bermasyarakat kelak bersama kehidupan bersyariat.
Kursus ini secara tidak langsung akan memberikan keyakinan diri yang tinggi kepada para remaja dalam mengenali potensi diri mereka dan memainkan peranan mereka sebaiknya dalam keluarga secara khususnya dan masyarakat serta negara secara amnya. Selain itu, mereka juga akan mampu menonjolkan jati diri positif yang ada pada diri mereka serta kreativiti mereka dalam merintis kejayaan hidup mereka. Kumpulan sasar yang bakal dilahirkan dari kursus ini akan mempunyai matlamat dan perancangan dalam kehidupan mereka.
Falsafah yang ingin diterapkan di dalam program ini ialah ”Remaja berbudaya dan berakhlak mulia tunjang kepada pemantapan hidup bermasyarakat”. Penerapan falsafah ini dalam diri setiap peserta adalah bertujuan melatih mereka menjadi individu yang tahu meneroka diri, sentiasa mengubah sikap dan menilai peribadi serta proaktif dalam membangunkan diri dengan nilai-nilai yang mulia. Remaja ini juga akan menjadi aset penting dan berperanan dalam masyarakat di samping berupaya merancang hala tuju kehidupan yang cemerlang.
Alhamdulillah program ini juga telah terpilih dan bersiaran sebelumnya dalam media seperti rancangan nasi lemak kopi O dan malaysia hari ini ( MHI ). Ini kerana, perlaksanaan program ini juga berdasarkan kepada konsep MOTIVASI DAN TEORI DALAM PRAKTIKAL amat menarik serta modul hijrah itu sendiri yang mengajak peserta berhijrah atau berubah kepada perubahan yang positif untuk kebaikan diri, masyarakat dan seterusnya negara.

OBJEKTIF
Menggalakkan remaja mengamalkan cara hidup yang baik berlandaskan nilai Islam serta berusaha mempengaruhi remaja/ belia lain ke arah cara hidup yang sihat dan lebih berakhlak mulia
Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran remaja/belia akan pendidikan reproduktif berdasarkan Islam dan akhlak
Menanamkan sikap positif di dalam diri remaja/belia supaya menghindari tingkahlaku/ tabiat/ kelakuan negatif yang boleh menjejaskan kesihatan diri, fizikal, intelek, emosi dan spiritual
Membentuk sekumpulan agen perubah dalam kalangan remaja bagi menggerakkan sebarang aktiviti/program bagi mempengaruhi/membimbing rakan-rakan lain